Helikopter H225M Caracal TUDM (photo Picuki)
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan belum memutuskan pesawat yang akan menggantikan helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ditamatkan operasinya, baru-baru ini.
Menterinya, Mohamad Sabu, berkata pada masa ini fungsinya sebagai pesawat pengangkut menggunakan perkhidmatan helikopter sewaan.
Namun, jumlah sebenar dan jenis pesawat yang disewa itu belum diputuskan.
“Kita sedang berbincang berhubung sewaan itu. Mengenai pesawat menggantikan Nuri perkara itu juga masih dalam perbincangan.
“Apabila kita sudah buat keputusan di peringkat kementerian, kita akan angkat ke Kabinet untuk kelulusan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kerjasama Jualan Amal antara Yayasan Veteran, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Chatime sempena Kempen Tabung Pahlawan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pesawat yang akan menggantikan 12 helikopter Nuri yang ditamatkan operasi selepas 50 tahun perkhidmatan.
Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad dilaporkan berkata, pesawat berkenaan yang berusia 50 tahun terlalu uzur untuk beroperasi, malah kos penyelenggaraannya terlalu mahal.
“Jika TUDM ada duit sekalipun untuk membeli peralatan selenggara Nuri, ia mengambil masa yang lama iaitu antara sembilan bulan hingga 18 bulan untuk memperoleh alat ganti,” katanya.
Mohamad berkata, pada masa ini, kementerian mempunyai peruntukan untuk sewaan pesawat sahaja.
Katanya, bagi pembelian pesawat menggantikan 12 helikopter Nuri itu, kementerian memerlukan peruntukan lain yang akan dimasukkan dalam pelan Rancangan Malaysia Ke-12.
Mengenai kutipan Tabung Pahlawan, beliau gembira kerana kutipan tabung itu mencecah RM10 juta melebihi sasaran dan mencatatkan sejarah tersendiri sebagai kutipan tertinggi sejak dilancarkan selepas merdeka.
Katanya, kementerian mengalu-alukan sambutan menggalakkan daripada sektor swasta untuk tabung berkenaan.
“Hari ini, saya menyaksikan perjanjian kerjasama antara Yayasan Veteran ATM dan Chatime yang memberi peluang kepada veteran membuka premis Chatime. Selain bantuan pembiayaan kewangan hasil kerjasama bank terpilih, syarikat itu beri latihan dan sumbangan RM20,000 disalurkan ke tabung berkenaan bagi setiap premis baru dibuka veteran ATM. Dijangka RM2 juta bakal disalurkan untuk tujuan itu.
“Chatime juga menyumbang 30 sen bagi jualan setiap cawan minuman di 39 cawangannya ke tabung ini, mulai hari ini (semalam) hingga 29 Februari ini,” katanya.
(Berita Harian)