Kos Pengoperasian Kapal LMS RM1,200 Sejam

31 Juli 2022

Kapal misi pesisir (Littoral Mission Ship) (photo : TLDM)

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) memaklumkan anggaran kos pengoperasian kapal misi pesisir (LMS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam tempoh setahun adalah RM1,200 sejam (269 USD sejam) atau RM28,800 sehari (6,471 USD sehari).

MINDEF berkata, kos pengoperasian kapal LMS merujuk kepada selenggaraan, alat ganti, bahan bakar dan rangsum.

“Berdasarkan dapatan data pengoperasian kapal LMS dalam tempoh setahun iaitu dari 1 Julai 2021 hingga 30 Jun 2022, anggaran kos pengoperasian bagi sebuah kapal LMS ini adalah RM 1,200.00 sejam atau RM 28,800.00 sehari bagi sebuah kapal,” kata MINDEF dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Jawapan itu bagi menjawab soalan dari Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang meminta Menteri Kanan Pertahanan menyatakan tahap kesiapsiagaan Littoral Mission Ship (LMS), kos operasi sejam dan masalah-masalah yang dihadapi.

Manakala, mengenai tahap kesiagaan kapal LMS ini, ianya kini berada di tahap yang baik di mana kesemua kapal berstatus beroperasi penuh dan mampu melaksanakan penugasan operasi dengan berkesan apabila diaturgerak.

“Setakat ini tiada masalah besar yang dihadapi dalam pengoperasian kerana setiap perkara yang berlaku mampu dibaiki oleh anggota teknikal kapal sendiri di laut atau bantuan dari pihak depot setiba kapal di pangkalan,” ujarnya.

Menurutnya, Program Transformasi Armada TLDM 15 ke 5 telah diperkenalkan pada November 2017 untuk mewujudkan pengurusan keupayaan Armada TLDM yang kredibel, dinamik dan ekonomikal.

“Pelan jangka Panjang sehingga tahun 2050 ini dijangka akan dapat mengatasi cabaran dan kekangan yang dihadapi oleh TLDM dalam pengurusan aset yang using melalui pengurangan 15 kelas kapal kepada hanya 5 kelas kapal sahaja iaitu Littoral Combatant Ship (LCS), LMS, Multi Role Support Ship (MRSS), New Generation Patrol Vessel (NGPV) dan Kapal Selam,

“TLDM telah memuktamadkan perolehan kapal kelas LMS batch yang pertama pada tahun 2017 dengan pembinaan 4 buah kapal di China melalui kerjasama Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) dan China Shipbuilding & Offshore International Co. Ltd,

“Kesemua kapal tersebut iaitu KD KERIS, KD SUNDANG, KD BADIK dan KD RENCONG telah memasuki inventori TLDM secara berperingkat mulai Januari 2020 hingga Disember 2021 dan kini sedang beroperasi sepenuhnya di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah,” jelasnya. 

Subscribe to receive free email updates: