'Selepas Dibaik Pulih, Kapal Selam TLDM Boleh Menyelam'

31 Oktober 2019

Kapal Selam TLDM saat Eksesais Bersama Royal Australian Navy (photo : TLDM)

KUALA LUMPUR: Isu kapal selam milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang pernah didakwa tidak mampu ‘menyelam’ menghangatkan persidangan Dewan Rakyat, yang bersambung sehingga malam ini.

Jawapan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu ketika menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH – Jelutong) bahawa aset milik TLDM boleh menyelam, mencetuskan perang mulut denganTan Sri Noh Omar (BN- Tanjung Karang).

Noh bangkit membidas Mohamad kerana pernah mempertikaikan kemampuan kapal selam negara ketika pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Saya masih ingat dalam dewan ini dulu Yang Berhormat menteri pernah mempertikaikan kapal selam milik negara tidak boleh menyelam.

“Begitu juga dalam video ceramah politik yang tersebar sebelum ini. Jadi saya nak tahu kapal selam kita boleh selam atau tidak?”, soal Noh kepada Mohamad ketika sesi menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2020, di Dewan Rakyat, malam ini.

Menjawab soalan itu, Mohamad menegaskan kapal selam berkenaan boleh digunakan tetapi selepas melalui proses penyelenggaraan, membaiki dan membaik pulih (MRO) yang memerlukan perbelanjaan cukup tinggi.

Sementara itu, Mohamad berkata, Kertas Putih Pertahanan Negara yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat Disember ini bertujuan memantapkan pertahanan negara yang seimbang.

Ia sekali gus mampu mempertahankan kedaulatan Malaysia sebagai negara maritim yang memiliki lokasi strategik kerana terletak di antara Lautan Pasifik dan Lautan Hindi.

“Kertas putih berkenaan akan membantu negara dalam menjalinkan kerjasama dengan negara berkaitan demi kepentingan keselamatan serantau.

“Ia juga bakal memacu transformasi industri pertahanan negara dalam merangka kemajuan sains dan teknologi pertahanan,” katanya.

(Berita Harian)

Subscribe to receive free email updates: