Keselamatan, Kedaulatan Sabah dan Sarawak Diperkasa – Menteri Pertahanan

01 November 2019


Divisyen Kelima Infantri telah dilancarkan di Sabah (photo : reddit)

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan komited dalam usaha memperkukuh tahap keselamatan di Sabah dan Sarawak bagi mengekang ancaman anasir luar, termasuk penculikan yang kerap dilaporkan sebelum ini.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata kedaulatan wilayah, keselamatan dan kemakmuran rakyat adalah menjadi keutamaan kerajaan.

“Secara umumnya keselamatan Sabah dan Sarawak pada masa ini adalah terkawal dengan pelaksanakan pengoperasi dari ketiga-tiga Perkhidmatan ATM iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Sejajar dengan penetapan tahun 2019 sebagai tahun latihan dan penjajaran, TDM terus memperkemaskan struktrur organisasi TDM di Sabah dengan penubuhan Divisyen Kelima Infantri (5 Div) dan Briged ke-13 Infantri (13 Bgd) yang telah dilancarkan di Kem Lok kawi pada 4 September yang lalu,

“Dibawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK 12), Briged ke-32 Infantri akan ditubuhkan dan berpangkalan di Kalabakan, Tawau Sabah,” ujarnya.

Manakala keselamatan di Sarawak pula, Mohamad berkata TDM dalam rancangan melaksanakan pemindahan Briged ke-31 Infantri dari Sibu ke Bakun untuk kawalan persempadanan Sarawak serta Indonesia.

“TLDM turut memperkemaskan struktur pengoperasiannya iaitu dengan rancangan penubuhan Markas Wilayah Laut 4 di Bintulu, Sarawak sebagai Pusat Operasi yang baharu bagi memudahkan pengoperasian aset-aset TLDM di kawasan perairan Sarawak,


EC725 TUDM (photo : Jesus Dopwell)

“TLDM masih mengekalkan kehadiran kapal TLDM secara berterusan dan sepanjang masa bagi memastikan tuntutan Malaysia terhadap kawasan Beting Patinggi Ali (BPA) dan Beting Raja Jarum (BRJ) di Sarawak terkawal,

“Bagi perairan Sabah pula, Operasi yang dilaksanakan lebih tertumpu kepada pencegahan kepada isu-isu pencerobohan, penculikan, kegiatan lanun dan lain-lain jenayah yang melanggar peraturan serta undang-undang Malaysia,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020, di Dewan Rakyat, semalam.

Menurut Mohamad lagi, bagi perancangan masa hadapan, TLDM akan mengtransformasikan armada TLDM dengan kemasukan Littoral Mission Ship (LMS) dan Unmanned Aerial System (UAS). Aset-aset tersebut dapat memperkasakan armada TLDM dalam melaksanakan operasi di kawasan Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, menyentuh pengoperasian TUDM, Mohamad berkata dua buah pangkalan udara dan sebuah Pusat Bantuan Operasi Udara di Tawau terus dipertingkatkan bagi memastikan kepentingan keselamatan di Sabah dan Sarawak sentiasa terjamin.

“TUDM juga telah menempatkan satu skuadron pesawat pejuang Hawk di Pangkalan Udara (PU) Labuan bagi tugas-tugas rondaan udara dan bantuan Close Air Support,

“Pesawat rondaan maritim Beechcraft B200T dan helikopter EC725 juga ditempatkan di Pangkalan Udara Labuan untuk tugas-tugas pemantauan Zon Maritim Malaysia di Laut China Selatan dan Laut Sulu serta membantu operasi East Sabah Security Command (ESSCOM),

“Manakala skuadron pesawat angkut Hercules C130 di PU Labuan, skuadron pesawat angkut CN235 dan skuadron helikopter Nuri di PU Kuching bertanggungjawab untuk memberikan dokongan pengangkutan udara di Sabah dan Sarawak,” tambah Mohamad.

Mohamad berkata, ATM masih mengekalkan komitmen dan peranannya bersama ESSCOM dengan memperkukuhkan kawalan keselamatan di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE).

(AirTimes)

Subscribe to receive free email updates: