Penghantaran Pesawat Terakhir CN235-220M (M44-01) Bagi Projek Naik Taraf

04 April 2021

Penghantaran pesawat CN235 nomor M44-01 TUDM (photos : TUDM)

BANDUNG – Tentera Udara Diraja Malaysia telah menghantar pesawat ketiga dan juga yang terakhir bagi naik taraf pesawat Maritime Surveillance Aircraft (MSA) di bawah program Maritime Security Initiative (MSI) bagi pesawat CN235-220M. Pesawat tersebut yang berpangkalan di No 1 Skuadron, Pangkalan Udara Kuching telah menjangkau usia 20 tahun sejak mula beroperasi dari tahun 1999.

Pesawat yang diterbangkan dari Pangkalan Udara Subang pada 22 Mac 21 yang lalu oleh Mej Meor Ahmad Ali bin Dato’ Meor Abdul Wahab TUDM, dibantu oleh Kapt Mohamad Syahmi bin Dato’ Mohamad Ali TUDM selaku pembantu juruterbang serta Sjn U Faizol bin W Mohd Omar sebagai Kuatermaster Udara telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Hussein Sastranegara, Bandung.

Proses induksi telah dilaksanakan oleh Pegawai Kejuruteraan No 1 Skn, Lt Arun Kumar Devan TUDM dan dibantu oleh Juruteknik No 1 Skn, Sjn U Rasman Anak Ato dan serah menyerah pesawat secara rasmi di antara pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan PT Dirgantara Indonesia (PTDI) telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya sebelum pesawat ini diteruskan bagi program naik taraf Maritime Surveillance Aircraft (MSA).


Terdahulu pada 2 Sep 20, TUDM telah menghantar pesawat CN235-220M yang pertama dan pada 30 Sep 20, pesawat kedua di bawah program naik taraf yang sama telah berjaya dihantar ke Bandung. Ketibaan pesawat M44-01 di Bandung telah melengkapkan keseluruhan proses penghantaran pesawat khusus bagi menyokong usaha TUDM dalam melaksanakan Program Maritime Security Initiative (MSI) dan meningkatkan keupayaan negara dalam melindungi kepentingan strategik negara amnya.

TUDM juga telah menempatkan dua pegawai yang diketuai oleh Mejar Raja Ismail Fahmi bin Raja Ibrahim TUDM dan Mej Jaffar bin Mohamed Taib TUDM yang berperanan sebagai Field Technical Representative (FTR) sejak penghantaran pesawat pertama bagi menjayakan program naik taraf ini. Syabas dan sekalung penghargaan diucapkan kepada krew serta wakil TUDM yang terlibat.

Subscribe to receive free email updates: