TLDM Rencana Tambah 13 Lagi Bot Pemintas

28 April 2021

Serah terima 6 Fast Interceptor Craft (FIC) kepada TLDM akan diikuti pesanan 13 lagi (all photos : TLDM)

LUMUT — Kementerian Pertahanan bercadang untuk menambah 13 lagi bot pemintas Fast Interceptor Craft (FIC) bernilai lebih RM120 juta untuk memperkasakan lagi pertahanan di kawasan sempadan khususnya di perairan negara.

Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata setakat ini, Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) telah menerima enam bot berkenaan yang bernilai keseluruhan RM80 juta pada 19 Mac yang lalu.

Menurut beliau, FIC melalui Projek Peralihan Operasi Benteng (Op Benteng) yang dibina Gading Marine Industry (M) Sdn Bhd (GMI) itu diletakkan dalam Skuadron Fast Combat Boat (FCB) berperanan sebagai elemen sokongan pertahanan maritim negara terutama kepada kapal TLDM dalam penugasan Op Benteng dalam meningkatkan keupayaan pengawasan dan pintasan di perairan cetek dan berpulau.


Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyaksikan Demonstrasi Fast Interceptor Craft (FIC) sempena lawatan kerja beliau ke Pangkalan TLDM Lumut, Perak, hari ini.

Terlebih dahulu, YB Menteri juga telah merasmikan Kiosk BHP yang terletak di dalam Kem Armada Mutiara, Pangkalan TLDM Lumut. Kiosk ini merupakan yang perfama disediakan oleh BHPETROL di dalam kawasan kem yang akan memberi kemudahan kepada lebih daripada 15,000 anggota TLDM serta keluarga di pangkalan ini.

YB Menteri turut meluangkan masa beramah mesra serta berbuka puasa bersama warga TLDM Lumut. 

(Mal Mindef)

Subscribe to receive free email updates: