ULU TIRAM, JOHOR: Batalion Ke-8 Rejimen Renjer Diraja (Para) telah melaksanakan Kem Kemahiran Senjata (KKS) serta Latihan Menembak Individu dan Tim (LMIT) bermula pada 21 hingga 26 Mac 21 bertempat di Kompleks Lapangsasar PULADA. Seramai 16 Pegawai dan 472 anggota LLP telah terlibat dalam latihan ini yang melibatkan Senjata Bantuan Seksyen, Platun, Kompeni dan Batalion.
Latihan KKS dan LMIT ini telah dirangka secara terperinci bagi memastikan setiap latihan menembak yang dilaksanakan bertepatan dengan tujuannya. Selain itu, latihan ini juga merupakan simulasi yang paling hampir dengan situasi pertempuran sebenar dan memberi penumpuan kepada aspek pengendalian senjata individu dan bantuan.
Antara latihan yang telah dilaksanakan adalah Latihan Tembak Tempur Tim (LTTT), menembak mortar 60mm, membaling bom tangan dan latihan memusnah kereta perisai menggunakan senjata RPG-7 dan Light Anti-Tank Weapon iaitu M 72. Bagi Platun Pakar pula latihan adalah melibatkan menembak siang dan malam menggunakan senjata Mesingun Kegunaan Am (MGKA), Mortar 81mm dan One Shoot Single Charge Claymore Mines.
Antara lain, objektif latihan pada kali ini adalah bagi meningkatkan kemahiran anggota dalam aspek keyakinan menembak menggunakan peluru hidup dalam situasi pertempuran, ketepatan menembak senjata persendirian dan bantuan serta memahirkan teknik, taktik dan prosedur (TTP) bagi aturgerak peperangan konvensional. Selain itu, latihan ini juga bertujuan sebagai persiapan pasukan dalam menghadapi Eks Para Predator dan Eks Gerak Pantas 2021 seperti yang telah ditetapkan oleh Panglima 10 Bgd (Para).
Pegawai Memerintah 8 RRD (Para), Lt Kol Zahari Affandi Hj Mat Nor yang turut serta dari awal latihan menekankan betapa perlunya latihan-latihan seperti ini dilaksanakan setiap tahun bagi setiap peringkat terutama sekali seksyen dan platun dalam mempersiapkan anggota dengan keadaan pertempuran sebenar. Beliau turut mengingatkan agar semua anggota mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) bagi mengelak penularan wabak COVID-19 walaupun semasa latihan dijalankan.