F/A-18D Hornet TUDM (photo : SNT)
KOTA KINABALU: Orang ramai dinasihatkan agar tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat-pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terbang rendah dan mendengar bunyi letupan di beberapa kawasan sekitar ruang udara Sabah.
Ini disebabkan TUDM sedang menjalankan Latihan Tembakan Misil Udara ke Udara dan Tembakan Udara Ke Bumi di Lapang Sasar Udara Kota Belud selama 19 hari bermula 23 Julai.
Sepanjang latihan tersebut ruang udara Sabah dan perairan disekitarnya akan digunakan oleh jet-jet pejuang TUDM.
Pesawat TUDM yang terlibat dalam latihan tembakan ini termasuklah pesawat pejuang jenis SU-30MKM dan F/A-18D Hornet.
Pesawat B200T dari No 16 Skn akan melaksanakan range clearance. Sementara pesawat A400M dan C130H pula berfungsi sebagai ‘transup‘.
SU-30MKM TUDM (photo : SNT)
Air-to-Air Refuelling akan menggunakan pesawat A400M sepenuhnya.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Perhubungan Awam TUDM hari ini, latihan kali ini juga turut melibatkan bantuan dari kapal laut milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) setta juga Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).
TLDM dan APMM akan membantu melaksanakan surface clearance (memastikan kawasan tembakan selamat untuk beroperasi).
Latihan yang berakhir pada 10 Ogos ini bertujuan menguji kecekapan dan keupayaan para juruterbang TUDM dalam mengendalikan pesawat pejuang dan melancarkan pelbagai persenjataan tepat ke sasaran.
Selain itu, ianya juga bagi memastikan kesiagaan aset-aset dan persenjataan TUDM sentiasa berada pada tahap terbaik khususnya di dalam melindungi kedaulatan ruang udara negara.
(SabahNewsToday)