Littoral Mission Ship Keempat TLDM Selesai Fasa Pembinaan, Jalani Ujian Penerimaan di Pelabuhan

17 Desember 2020

Kapal Littoral Mission Ship keempat TLDM (photos : TLDM)

WUHAN - Littoral Mission Ship (LMS) keempat TLDM telah selesai menjalani fasa pembinaan dan selamat diturunkan ke air di Limbungan Wuchang Shipbuilding Industry Group Ltd, Wuhan, China hari ini bagi menjalani Fasa Ujian Penerimaan di Pelabuhan. Walau bagaimanapun, penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia mengakibatkan penangguhan upacara rasmi penamaan LMS keempat ini. Upacara tersebut akan dilaksanakan serentak dengan upacara penyerahan fizikal kapal yang dijadualkan pada November 2021. 

LMS keempat ini bakal menyertai Skuadron LMS Ke-11 bersama KD KERIS (LMS Pertama), SUNDANG (LMS Kedua) dan LMS Ketiga. Perolehan kapal-kapal ini dilaksanakan di bawah Kontrak Kementerian Pertahanan Malaysia dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) yang telah dimeterai pada 23 Mac 2017 dengan kerjasama pihak China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd, China.

LMS merupakan salah satu daripada lima kelas kapal di dalam Program Transformasi Armada 15 ke 5. LMS berkemampuan melaksanakan tugas rondaan, pengawasan maritim, Search and Rescue (SAR) di samping menguatkuasakan undang-undang maritim Malaysia. 

Kapal bakal menjalani beberapa siri Ujian Penerimaan di Pelabuhan dan seterusnya Ujian Penerimaan di Laut sebelum diserahkan kepada TLDM pada November 2021. Bakal warga kapal dijangka akan diaturgerak ke China bagi menjalani latihan penyesuaian pada awal April 2021.

(TLDM)

Subscribe to receive free email updates: