Tentera Darat Pamer Keupayaan Kuasa Tembakan di Sabah

18 Februari 2020


Latihan Kuasa Tembakan (LKT) Tentera Darat Malaysia (TDM) pertama kali di Sabah (photo : AirTimes)

KOTA BELUD – Seramai 500 pengunjung dari Kota Belut hadir menyaksikan Latihan Kuasa Tembakan (LKT), Tentera Darat Malaysia (TDM) yang buat pertama kalinya diadakan di Negeri Bawah Bayu.

Latihan yang diadakan sempena sambutan Hari Tentera Darat ke-87 ini telah dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Lapang Sasar Kota Belud, Kem Paradise, Sabah semalam.


AV8 Gempita pada LKT di Sabah (photo : SabahNewsToday)

Tentera Darat dalam satu kenyataannya berkata, objektif penganjuran LKT ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pegawai dan anggota lain-lain pangkat (LLP) yang terlibat berkenaan penggunaan kuasa tembakan yang efisien,

“Ia turut merangkumi persenjataan kecil hingga ke senjata berkaliber besar dan latihan ini turut dapat mempertingkatkan kompetensi serta melatih anggota untuk melaksanakan tugasan yang diamanahkan dengan cemerlang,” katanya.


Lipan Bara pada LKT 2020 di Sabah (photo : SabahNewsToday)

Latihan ini juga bertujuan untuk mempamerkan keupayaan ketumbukan Divisyen Kelima Infantri Malaysia. Latihan pada tahun ini dibahagikan kepada dua segmen iaitu Segmen Dinamik (sistem persenjataan tembakan langsung) dan Segmen Tembakan Tidak Langsung.

“Segmen Dinamik adalah keupayaan aturgerak kenderaan tempur, aplikasi dan keberkesanan sistem persenjataan TDM dan impak ke atas sasaran, manakala Segmen Tembakan Tidak Langsung adalah kuasa tembakan mortar dan artileri serta impak ke atas sasaran.


Howitzer 105mm pada LKT 2020 di Sabah (photo : SabahNewsToday)

“Antara aktiviti semasa pelaksanaan Segmen Dinamik adalah Tembakan Agusta A109 LOH (Gattling Gun), Persenjataan Kompeni (M4, Minimi, M203, GPMG), Persenjataan Bantuan Kompeni (RPG-7, Mortar 60 mm), Tembakan Senjata Batalion (HMG, AGL), Tembakan LIPAN BARA dan BUSHMASTER, Tembakan GEMPITA,

“Manakala, Segmen Tembakan Tidak Langsung dilaksanakan secara tembakan berkumpulan seperti Meriam 105 mm dan mortar 81 mm,” tambah kenyataan itu.


A109 LOH pada LKT 2020 di Sabah (photo : SabahNewsToday)

Terdahulu, Tun Juhar turut menyaksikan pertunjukan payung terjun dari pasukan 21 Grup Gerak Khas (GGK) dan VAT 69 Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melakukan penerjunan dari pesawat EC 725 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum menyertai acara menembak.

Kota Belud menjadi destinasi keenam Konvoi Kumpulan Tempur Tentera Darat yang diadakan selepas Tawau, Semporna, Lahad Datu, Sandakan dan Kudat serta. Konvoi Kumpulan Tempur TD ini meneruskan perjalanan menuju ke destinasi terakhir di Kota Kinabalu.

Turut hadir Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Zamrose Mohd Zain, Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Dato’ Zaini Jass, Panglima 5 Divisyen, Mej Jen Dato’ Mohammad Khir Abdullah, serta Pegawai-Pegawai Kanan Tentera Darat.

(AirTimes)

Subscribe to receive free email updates: