Motosikal Scrambler Kawasaki 250cc (photo : BTDM)
KUALA LUMPUR: Tentera Darat (TD) menerima 180 buah motorsikal bagi kegunaan operasi dalam Majlis Penyerahan Motosikal Scrambler 250cc OP BENTENG yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain di 92 Depot Kenderaan Pusat (92 DKP) pada 17 Feb 2021.
Acara dimulakan dengan penyampaian taklimat oleh Pengarah Syarikat Kawasaki Motors Sdn Bhd, Dato’ Jefry Lim dan demonstrasi tunggangan Motosikal Scrambler yang dipersembahkan oleh The Army Red Warrior Motorcycle Team.
PTD kemudian menerima Replika Kunci Motosikal Kawasaki 250cc sebagai simbolik Penyerahan Kenderaan Motosikal Scrambler 250cc kepada TD.
Kenderaan tersebut bertujuan untuk membantu meningkatkan aspek mobiliti dalam penugasan OP BENTENG di sempadan negara sejajar dengan Tonggak Pertama Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Kelangsungan Misi dan Kesiagaan iaitu penumpuan kepada perolehan dan penyelenggaraan aset-aset bagi memastikan kesiagaan tempur TD berada di tahap terbaik untuk sebarang aturgerak operasi.
Majlis ini telah dilaksanakan secara ringkas dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah ditetapkan kerajaan.
Turut hadir, Panglima Logistik Tentera Darat, Mej Jen Muhammad Ariff Soo Abdullah dan Pegawai Kanan TD.
(BTDM)